Selasa, 24 Mac 2009

Program Dalaman Bersama Ustaz Yusof Embong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Selawat serta Salam atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w Alhamdulillah... dengan izin Allah jualah pada malam tadi, beberapa orang muslimat kawasan Sandakan dapat menghadiri program dalaman bersama al-Fadhil Ustaz Yusof Embong yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan. Jazakallahu khair buat Pemuda PAS atas jemputannya. Insya' Allah, sama-samalah kita tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Banyak juga maklumat yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz dalam ucapannya, namun pesanan yang paling menarik perhatian saya untuk dikongsikan bersama di ruangan ini ialah berkaitan dengan tujuan dan matlamat kita berada dalam perjuangan PAS. Persoalan yang ditimbulkan oleh Ustaz ialah : " Kita bersama dengan PAS ini adakah kerana dasarnya ataukah kerana melihat kepada peribadi tertentu dalam kepimpinan PAS itu ?". Tepuk dada dan tanyalah iman kita untuk menjawabnya. Kemudian, marilah kita sama-sama bermuhasabah terhadap diri kita sendiri. Moga usaha itu dapat melahirkan kekuatan dalam diri kita untuk istiqamah bersama perjuangan PAS selama ia tetap berpandukan kepada Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Jika diimbas kembali peristiwa yang berlaku semasa pilihanraya umum tahun 2004 yang lepas, banyak iktibar yang dapat kita ambil untuk dijadikan panduan dalam meneruskan gerak kerja kita bersama-sama dengan PAS. Ketika itu, tahap keyakinan kita terhadap Allah dan wala' terhadap pimpinan benar-benar diuji. Kekalahan yang berlaku itu telah menyentak hati dan aqal kita sedangkan perasaan gembira dengan kemenangan tahun 1999 masih lagi belum reda. Perbezaan pandangan antara pimpinan mula dijadikan sebagai alasan untuk saling menyalahkan antara satu sama lain.Perkara paling menyedihkan ialah apabila ada di kalangan sahabat yang sebelum ini susah dan senang bersama kita dalam perjuangan PAS mula mengundurkan diri. Sebenarnya, perbezaan pandangan itu adalah lumrah bagi manusia yang mempunyai latar belakang, pendidikan dan sifat yang berbeza-beza. Tidak salah kita berpegang pada pandangan masing-masing selagi ia bukan dalam perkara yang bertentangan dengan aqidah atau hukum yang qat'ie dalam Al-Qur'an serta bukan termasuk perkara mungkar dan maksiat kepada Allah. Janganlah kita menganggap perbezaan pandangan dalam urusan dunia sebagai bukti perpecahan ataupun perbalahan sesama kita. Dan janganlah perbezaan peribadi pimpinan menyebabkan kita memilih-milih untuk taat atau tidak taat dalam melaksanakan arahan dan amanah yang diberikan kepada kita. Berusahalah kita untuk selalu bersangka baik dengan ketentuan Allah sepertimana iblis dan syaitan yang tidak hentinya membisikkan agar kita sering berburuk sangka dan putus asa daripada pergantungan kepada Allah S.W.T. Serahkan kepada Allah untuk menilai segala ikhtiar kita dan ikhtiar orang lain. Namun, sama-samalah kita berusaha untuk memastikan ikhtiar kita itu masih dalam batas-batas yang dibenarkan dalam Islam. Wallahu a'lam...

0 ulasan:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP