Rabu, 11 Mac 2009

Hak-Hak Wanita

PENERANGAN TENTANG AKTA KEGANASAN RUMAH TANGGA 1994 S.1 Apakah tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994? J. Tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta) ialah untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. Mangsa dalam Akta ini termasuklah isteri. S.2. Apakah yang dimaksudkan dengan "keganasan rumah tangga"? J. "Keganasan rumah tangga" berlaku apabila seseorang : menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa; secara bersengaja atau dengan sedar meletak atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal; memaksa atau mengancam mangsa untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual yang mana mangsa berhak untuk tidak melakukannya; mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya; atau melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa. S.3 Siapakah mangsa yang dilindungi oleh Akta ini? J. Mangsa yang dilindungi oleh Akta ini ialah: Isteri Atau Suaminya, Isteri Atau Suami de facto (iaitu seseorang yang telah melalui suatu bentuk istiadat yang diiktiraf sebagai istiadat perkahwinan mengikut agama atau pihak-pihak yang berkenaan walaupun perkahwinan itu tidak didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan upacara dan pendaftaran perkahwinan) atau bekas isteri atau bekas suami. Kanak-kanak (berumur di bawah 18 tahun yang ditinggal sebagai anggota keluarga). Orang Dewasa Yang Tak Berkeupayaan (yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga); Mana-Mana Anggota Lain Keluarga, seperti: (i) anak lelaki atau anak perempuan dewasa; (ii) ibu atau bapa; (iii) abang, kakak atau adik; atau (iv) mana-mana saudara lain yang "pada pandangan mahkamah" hendaklah dimasukkan bagi tujuan perlindungan di bawah Akta ini. S.4 Apakah yang patut dibuat oleh seseorang mangsa? J. Di bawah Akta, seseorang mangsa boleh mengambil tindakan yang berikut: Mendapatkan pertolongan atau panduan daripada seorang pegawai kebajikan; Mendapatkan perlindungan, pertolongan dan panduan daripada pihak polis; Berjumpa atau menghubungi peguam atau Pegawai Biro Bantuan Guaman; Membuat laporan polis; Memfailkan aduan di mahkamah; Mendapatkan perintah tertentu daripada mahkamah, termasuk perintah perlindungan, pampasan, pemulihan psikoterapi, kaunseling, perdamaian dan sebagainya. Perintah-perintah ini akan dijelaskan kemudian. S.5 Bagaimanakah seseorang pegawai kebajikan boleh memberi pertolongan kepada mangsa? J. Apabila mangsa menghubungi seseorang pagawai kebajikan, pegawai itu akan menerangkan kepada mangsa hak-haknya di bawah undang-undang. Apabila bersesuaian, pegawai kebajikan tersebut hendaklah memberi pertolongan kepada mangsa melakukan perkara-perkara berikut: untuk membuat laporan polis; untuk memfailkan aduan di mahkamah; mengatur rawatan perubatan kepada mangsa; mengatur tempat perlindungan dan pengangkutan untuk pergi ke tempat perlindungan kepada mangsa; untuk menemani mangsa ke tempat kediaman/tinggalnya bagi tujuan mengambil atau memindahkan barang-barang kepunyaannya. (Ini boleh dilakukan apablia Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta); bertindak sebagai penghubung di antara pihak-pihak (misalnya apabila satu Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah seksyen 6(i)(b) Akta). S.6 Bagaimanakah seseorang pegawai polis boleh memberi pertolongan? J. Di bawah seksyen 19 Akta, seseorang pegawai polis mempunyai kuasa untuk membantu mangsa sebagaimana kuasa yang diberikan kepada seseorang pegawai kebajikan seperti yang dinyatakan di atas. Sebagai tambahan, seseorang pegawai polis mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk : mengambil tindakan, sekiranya sesuai, untuk mencegah keganasan rumah tangga yang sedang dilakukan; menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa dan membuat cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap pesalah sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi untuk berbuat demikian; melaksanakan atau menguatkuasakan perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, misalnya, dengan menangkap pesalah yang telah melanggar perintah tersebut atau mengeluarkan pesalah dari tempat di mana dia telah dihalang oleh perintah untuk memasuki atau tinggal di situ. S7. Bagaimanakah mahkamah boleh memberi pertolongan? J. Mahkamah mempunyai pelbagai peranan di bawah Akta. Di antara lain, mahkamah akan - menerima dan merekodkan aduan yang difailkan oleh mangsa dan mendengar serta membuat keputusan tentang aduan tersebut dengan seberapa segera (seksyen 14 Akta); mengeluarkan perintah yang bersesuaian seperti perintah perlindungan, pampasan kewangan untuk mangsa, memerintah supaya pemulihan psikoterapi atau kaunseling diberi kepada mangsa/pesalah dan sebagainya. menyelenggara rekod berhubung dengan butir-butir terperinci tentang aduan yang difailkan seperti butir-butir pihak yang terlibat, kecederaan, perintah yang dikeluarkan dan sebagainya. Butir-butir ini adalah amat berguna bagi membantu pihak mahkamah meniali keberkesanan amalan pada masa lalu, kajian sosial tentang keganasan rumah tangga, menjadi panduan kepada pembuat dasar dan sebagainya. S8. Bagaimanakah pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman memberi pertolongan? J. Pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman adalah terlatih dalam bidang undang-undang. Selain daripada memberi nasihat untuk membantu mangsa membuat laporan polis atau memfailkan aduan di mahkamah, mereka juga boleh memberi nasihat tentang permohonan untuk mendapat perintah di mahkamah., tindakan mengemukakan saman persendirian bagi pertuduhan jenayah (dalam keadaan tertentu) dan sebagainya. Seseorang mangsa yang diberi nasihat sewajarnya oleh seseorang yang terlatih dalam undang-undang boleh menegakkan hak-haknya dengan lebih berkesan. S9. Bagaimanakah orang ramai boleh menolong mangsa keganasan rumah tangga? J. Kawan, saudara mara, jiran dan orang ramai boleh memainkan peranan dalam mencegah perbuatan yang melibatkan keganasan rumah tangga. Penglibatan langsung yang boleh diambil ialah dengan menyediakan "tempat selamat" kepada mangsa dan membuat laporan tentang kejadian keganasan rumah tangga kepada pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis. Akta melindungi "pemberi maklumat" walaupun maklumat yang diberikan itu didapati tidak betul atau kurang tepat kemudiannya (seksyen 18(2) Akta). Penglibatan secara tidak langsung ialah dengan melibatkan diri dalam usaha-usaha untuk mengwujudkan keharmonian di dalam rumah tangga dan memberi kefahaman tentang tanggungjawab suami-isteri yang sepatutnya. S10. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Perlindungan? J. Perintah Perlindungan ialah satu perintah dalam bentuk injunksi bagi mencapai salah satu atau semua tujuan yang berikut - untuk menghalang berlakunya perbuatan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; untuk menghalang pesalah daripada menghasut orang lain daripada melakukan perbuatan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; untuk memberi perlindungan kepada mangsa dalam bentuk Perintah Sampingan (Ancilliary Order), kuasa menangkap dan sebagainya. (Seksyen 5). Aduan atau permohonan untuk mendapat satu Perintah Perlindungan tidak semestinya dibuat oleh mangsa sendiri. S11. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Sampingan (Ancilliary Orders)? J. Satu Perintah Perlindungan termasuklah Perintah Sampingan tertentu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta. Perintah-perintah itu termasuklah - memberi orang yang dilindungi hak eksklusif untuk mendiami tempat kediaman secara keseluruhan; memberi mangsa yang dilindungi hak eksklusif untuk mendiami tempat kediaman secara bahagian tertentu; menghendaki pesalah membenarkan orang yang dilindungi memasuki kediaman untuk mengambil barang-barang kepunyaannya. Walau bagaimanapun, orang yang dilindungi hendaklah ditemani oleh seorang pegawai kebajikan atau pegawai polis semasa berbuat demikian. melarang pesalah daripada memasuki tempat kediaman atau kediaman alternatif orang yang dilindungi atau tempat kerja atau sekolah. melarang pesalah membuat perhubungan bertulis atau telefon dengan orang yang dilindungi melainkan dengan kehadiran seorang pegawai penguatkuasa atau orang lain yang dinyatakan dalam perintah. menghendaki pesalah membenarkan orang yang dilindungi untuk terus menggunakan kenderaan pesalah yang sebelum itu biasanya digunakan oleh orang yang dilindungi. S12. Apakah maklumat lanjut yang perlu diketahui tentang Perintah Sampingan ini? J. Sesuatu Perintah Sampingan adalah - berkuatkuasa selama tempoh tidak melebihi 12 bulan daripada tarikh mula berkuatkuasanya perintah sedemikian sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah perlindungan. tidak menjejaskan hak-hak dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat berhubung dengan harta yang tertakluk kepada perintah seperti tempat kediaman dan kenderaan. dikeluarkan oleh mahkamah selepas mahkamah meneliti perkara-perkara yang berikut: i. kelakuan pihak-pihak; ii. kemungkinan kecederaan kepada orang yang dilindungi; iii. kesannya kepada anak; iv. kesihatan pihak-pihak; v. alternatif-alternatif yang boleh dipertimbangkan bagi melindungi mangsa. Pertimbangan yang dibuat oleh mahkamah ialah "atas imbangan kebarangkalian". S13. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Perlindungan Sementara? J. Mengikut seksyen 4 dan 12 Akta. Perintah Perlindungan Sementara boleh dikeluarkan sementara menunggu penyiasatan berhubung dengan suatu perbuatan keganasan rumah tangga oleh pihak polis selesai. S14. Apakah hukuman jika pesalah melanggar perintah Mahkamah di atas? J. Pesalah yang melanggar perintah perlindungan atau mana-mana peruntukannya boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali. Pesalah yang melanggar perintah perlindungan dengan menggunakan kekerasan atau keganasan boleh didenda tidak lebih daripada RM4,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali. Dalam kes perlanggaran kali kedua atau kemudiannya, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 72 jam dan tidak lebih daripada dua tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM5,000. S15. Bolehkah mangsa keganasan rumah tangga menuntut pampasan? J. Mangsa keganasan rumah tangga boleh menuntut pampasan daripada pesalah melalui mahkamah, jika mangsa mengalami : kecederaan diri; kerosakan kepada harta; kerugian kewangan, dan Mahkamah akan membenarkan tuntutan itu sebagaimana yang difikirkannya adil dan munasabah. Tuntutan pampasan ini boleh dibuat sebagai satu tindakan sivil yang berasingan sungguhpun tindakan jenayah telah diambil terhadap pesalah. S16. Apakah faktor-faktor yang diambilkira oleh Mahkamah dalam memberi pampasan? J. Mahkamah yang mendengar tuntutan bagi pampasan boleh mengambilkira faktor-faktor berikut : kesakitan dan penderitaan mangsa itu; jenis dan takat kecederaan fizikal atau mental (berkaitan dengan kesesuaiannya); kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu; apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya; jumlah atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan; perbelanjaan perlu dan munsabah yang ditanggung oleh mangsa, apabila mangsa terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana keganasan rumah tangga seperti: i. perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat atau tempat berlindung; ii. perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan; iii. perbelanjaan yang dikehendaki dalam menubuhkan suatu rumah tangga berasingan iaitu: a. amaun pinjaman perumahan, atau b. bayaran sewa semua atau sebahagian kediaman bersama atau kediaman alternatif, mengikut pertimbangan keadilan dan munasabah Mahkamah. S17. Apakah faktor-faktor yang diambilkira dalam menimbangkan "perbelanjaan yang perlu dan munasabah"? J. Dalam menimbangkan perbelanjaan perlu dan munasabah, Mahkamah boleh juga mengambilkira: kedudukan kewangan mangsa dan defendan; perhubungan antara mangsa dan defendan dan persoalan-persoalan kemunasabahannya yang menghendaki defendan membuat pembayaran; kemungkinan prosiding lain diambil di antara pihak-pihak itu dan samada ia lebih sesuai dilaksanakan di bawah undang-undang yang lebih relevan bagi orang-orang berkenaan. S18. Apakah perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh mahkamah sebagai ganti atau sebagai tambahan kepada Perintah Perlindungan? J. Mahkamah dalam memberi perintah perlindungan, boleh sebagai ganti atau tambahan, mengeluarkan satu atau kedua-dua perintah berikut: memerintahkan supaya pihak-pihak berkenaan dirujukkan kepada badan pendamai; memerintahkan supaya satu atau lebih daripada satu pihak kepada pertikaian dirujuk kepada terapi pemulihan, psikoterapi atau kaunseling pendamaian lain yang sesuai. Dalam masa membuat perintah sebagai ganti atau tambahan kepada Perintah Perlindungan, Mahkamah boleh, jika praktik, meminta nasihat seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana orang yang terlatih atau berpengalaman. S19. Apakah badan pendamai yang terlibat? J. Badan pendamai ialah badan-badan yang mengadakan perkhidmatan kaunseling yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bagi orang-orang Islam ia juga meliputi badan pendamai yang ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. S20. Bilakah perintah perlindungan boleh diminta? J. Perintah perlindungan boleh diminta dalam sesuatu prosiding jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang bertulis lain apabila tertuduh dipertuduh dengan suatu kesalahan yang termasuk dalam takrif keganasan rumah tangga- sebagai suatu syarat untuk membebaskan tertuduh dengan jaminan atau pada mana-mana peringkat lain prosiding iaitu; atau semasa mengkompaunkan kesalahan itu bawah s. 260 Kanun Prosedur Jenayah. S21. Di manakah aduan boleh dibuat? J. Aduan boleh dibuat kepada mana-mana pegawai penguatkuasa (pegawai kebajikan dan pihak polis), di mana - pengadu itu tinggal; pesalah itu tinggal; keganasan yang dikatakan itu berlaku; atau mangsa itu ditempatkan buat sementara. Bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berupaya untuk membuat aduan, ia boleh dibuat oleh penjaga atau saudara atau orang yang bertanggungjawab menjaga atau oleh seorang pegawai penguatkuasa. Pegawai penguatkuasa itu akan memfailkan aduan itu di Mahkamah dan Mahkamah dikehendaki mendengar kes itu seberapa segera yang boleh. S22. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa apabila berjumpa dengan pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman? J. Dokumen-dokumen yang perlu dibawa ialah : Kad pengenalan; Surat nikah; Sijil kelahiran anak-anak jika berkaitan; Laporan polis; Laporan perubatan dan Laporan kaunseling, jika berkaitan.

0 ulasan:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP