Rabu, 4 Mac 2009

~ MANGKUK , MADU DAN RAMBUT ~

Pada suatu hari, RasululLah s.a.w dengan sahabat-sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a dan Saidina Uthman r.a berkunjung ke rumah Saidina Ali r.a. Di rumah Saidina Ali, isterinya Saidatina Fatimah (puteri Rasulullah s.a.w) menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan dalam sebuah mangkuk yang cantik. Ketika mangkuk berisi madu itu dihidangkan, sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda s.a.w kemudiannya meminta semua sahabatnya untuk membuat satu perbandingan antara ketiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut. Lalu Saidina Abu Bakar berkata "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut". Saidina Umar pula berkata " Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Kata Saidina Uthman pula "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut. Saidina Ali pula berkata "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu dan membuat tamu senang sampai kembali ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Saidatina Fatimah turut tidak melepaskan peluang membuat perbandingan dengan katanya "Seorang wanita itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Akhirnya RasululLah s.a.w bersabda "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Malaikat Jibril a.s turut berkata "Menegakkan syiar-syiar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri/harta/tenaga dan waktu untuk syiar Islam lebih manis dari madu dan mempertahankan syiar Islam hingga akhir hayat itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Seterusnya firman Allah S.W.T yang bermaksud "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, nikmat syurgaKu lebih manis dari madu dan jalan menuju syurgaKu adalah lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Marilah kita bersama-sama menghayati kisah ini. Moga hikmah disebaliknya dapat membuka mata hati kita daripada tipu daya dunia dan kesenangannya. Jalan AlLah dan sunnah RasullulLah itu tidak dikelilingi senang dan seronok tetapi penuh dengan mehnah dan ibtila'(cabaran dan ujian). "Ya Allah, saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah berusaha untuk agamaMu dan kami berserah diri kepadaMu untuk menentukan natijahnya. Tiada daya dan upaya bagi kami melainkan dengan rahmatMu jua maka bantulah dan kuatkan kami dalam meniti jalanMu". Amin...amin...amin ya Robbal 'Alamin.

0 ulasan:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP