Selasa, 24 Mac 2009

Program Dalaman Bersama Ustaz Yusof Embong

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Selawat serta Salam atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w Alhamdulillah... dengan izin Allah jualah pada malam tadi, beberapa orang muslimat kawasan Sandakan dapat menghadiri program dalaman bersama al-Fadhil Ustaz Yusof Embong yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan. Jazakallahu khair buat Pemuda PAS atas jemputannya. Insya' Allah, sama-samalah kita tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Banyak juga maklumat yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz dalam ucapannya, namun pesanan yang paling menarik perhatian saya untuk dikongsikan bersama di ruangan ini ialah berkaitan dengan tujuan dan matlamat kita berada dalam perjuangan PAS. Persoalan yang ditimbulkan oleh Ustaz ialah : " Kita bersama dengan PAS ini adakah kerana dasarnya ataukah kerana melihat kepada peribadi tertentu dalam kepimpinan PAS itu ?". Tepuk dada dan tanyalah iman kita untuk menjawabnya. Kemudian, marilah kita sama-sama bermuhasabah terhadap diri kita sendiri. Moga usaha itu dapat melahirkan kekuatan dalam diri kita untuk istiqamah bersama perjuangan PAS selama ia tetap berpandukan kepada Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Jika diimbas kembali peristiwa yang berlaku semasa pilihanraya umum tahun 2004 yang lepas, banyak iktibar yang dapat kita ambil untuk dijadikan panduan dalam meneruskan gerak kerja kita bersama-sama dengan PAS. Ketika itu, tahap keyakinan kita terhadap Allah dan wala' terhadap pimpinan benar-benar diuji. Kekalahan yang berlaku itu telah menyentak hati dan aqal kita sedangkan perasaan gembira dengan kemenangan tahun 1999 masih lagi belum reda. Perbezaan pandangan antara pimpinan mula dijadikan sebagai alasan untuk saling menyalahkan antara satu sama lain.Perkara paling menyedihkan ialah apabila ada di kalangan sahabat yang sebelum ini susah dan senang bersama kita dalam perjuangan PAS mula mengundurkan diri. Sebenarnya, perbezaan pandangan itu adalah lumrah bagi manusia yang mempunyai latar belakang, pendidikan dan sifat yang berbeza-beza. Tidak salah kita berpegang pada pandangan masing-masing selagi ia bukan dalam perkara yang bertentangan dengan aqidah atau hukum yang qat'ie dalam Al-Qur'an serta bukan termasuk perkara mungkar dan maksiat kepada Allah. Janganlah kita menganggap perbezaan pandangan dalam urusan dunia sebagai bukti perpecahan ataupun perbalahan sesama kita. Dan janganlah perbezaan peribadi pimpinan menyebabkan kita memilih-milih untuk taat atau tidak taat dalam melaksanakan arahan dan amanah yang diberikan kepada kita. Berusahalah kita untuk selalu bersangka baik dengan ketentuan Allah sepertimana iblis dan syaitan yang tidak hentinya membisikkan agar kita sering berburuk sangka dan putus asa daripada pergantungan kepada Allah S.W.T. Serahkan kepada Allah untuk menilai segala ikhtiar kita dan ikhtiar orang lain. Namun, sama-samalah kita berusaha untuk memastikan ikhtiar kita itu masih dalam batas-batas yang dibenarkan dalam Islam. Wallahu a'lam...

Read more...

Ahad, 15 Mac 2009

Penubuhan PAS kawasan Batu Sapi

PAS Sabah melangkah setapak lagi dengan tertubuhnya jawatankuasa penaja PAS Kawasan Batu Sapi. Seiring dengan penubuhan itu, kedua-dua sayap Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu Sapi dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu Sapi juga berjaya ditubuh.

Menurut Yang DiPertua Penaja PAS Kawasan Batu Sapi, Tuan Haji Hamzah Abdullah, permohon penubuhan PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan telah dihantar ke pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. “Sekarang hanya tinggal menunggu sijil pendaftaran dari ROS“, kata Tuan Haji Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.

Dengan tertubuhnya PAS Kawasan Batu Sapi, Zon Sandakan telah berjaya melengkapi semua PAS Kawasan iaitu PAS Kawasan Sandakan, PAS Kawasan Kinabatangan, PAS Kawasan Beluran, PAS Kawasan Libaran dan PAS Kawasan Batu Sapi.

Sumber : http://pasabah.wordpress.com/

Read more...

USRAH NADI PERJUANGAN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w. Alhamdulillah, dengan izin Allah usrah muslimat dapat juga dijalankan di rumah Ketua Muslimat pada hari ini walaupun kehadiran muslimat tidaklah ramai. Maklumlah musim cuti sekolah ni selalunya sibuk dengan kenduri-kendara. Ada kenduri kahwin dan ada kenduri aqiqah. Ada pula yang masih sibuk nak mengemas rumah setelah selesai kenduri. Sementara itu di PASTI Taman Sejati pula sedang berlangsung Sambutan Maulidur Rasul yang turut melibatkan beberapa orang muslimat. Apapun yang kita sedang lakukan, selagi dalam batas amalan yang baik dalam Islam kita harap ianya tetap mendapat perhatian dan diterima di sisi Allah S.W.T. Amiin... Benarlah usrah itu nadi perjuangan. Bukannya apa, selalunya setiap kali selepas menghadiri usrah atau mana-mana ceramah agama terasa pula satu kekuatan dalam diri untuk melakukan kebaikan selepas itu sama ada kecil atau besar. Tambahan pula apabila tajuk tazkirah hari ini mengingatkan tentang matlamat kejadian manusia. Buku yang dijadikan teks panduan untuk sesi tazkirah itu bertajuk Mutiara 2 Tok Guru (Membangun Ummah) yang merupakan kompilasi cetusan pemikiran dua orang ulama' iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Marilah kita kongsi bersama pengisian tazkirah tersebut melalui petikan teks berikut :- Firman Allah S.W.T dalam surah al-Qiamah ayat 36 : Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa dia ditinggalkan begitu sahaja (dijadikan sia-sia dengan tidak mempunyai apa-apa matlamat, tujuan & perhitungan di sisi Allah S.W.T). Firman Allah S.W.T ini ditujukan khusus kepada manusia agar menyentuh hati, perasaan dan akal fikiran manusia untuk menyedari bahawa kejadian mereka tidaklah sia-sia. Manusia dijadikan Allah S.W.T mempunyai matlamat yang mulia dan tujuan yang besar. Makhluk Allah yang lain pun mempunyai tujuan & matlamat masing-masing mengikut ketentuan Allah S.W.T. Malaikat : dijadikan Allah sbg makhluk yg sangat taat & tidak pernah derhaka kpd Allah S.W.T kerana itulah fitrah kejadiannya yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Binatang : dijadikan Allah utk manfaat manusia seperti dipelihara, dimakan, diminum susunya, menjadi tunggangan dan sbg perhiasan. Tumbuhan : dijadikan Allah juga utk manfaat manusia spt sumber oksigen, makanan, tempat tinggal, perhiasan dan sebagainya. Langit & Bumi : sbg salah satu bukti kekuasaan Allah yg menyuruh manusia mentadbirnya mengikut syariat yang telah diturunkanNya melalui para Rasul. Kita sudah maklum bahawa kita didatangkan daripada ALLAH S.W.T. dengan sebaik-baik penciptaan. Kita diberi akal tdk spt binatang & tumbuhan, kita diberi perasaan tdk spt malaikat yang hanya mentaati perintah Allah tanpa merasa apa-apa. Kmdn ALLAH meminta pula para malaikat yang mulia itu utk bersujud kpd kita. Kalaulah semua manusia sedar akan hal itu, pastinya kita akan berfikir banyak kali untuk mencalarkan kemuliaan yang dikurniakan Allah S.W.T. Kemuliaan yg hanya akan diperolehi dgn mentaati dan mempertahankan syariat Allah bkn semata-mata berdasarkan kehendak & pandangan manusia yg terbatas. Tapi berapa ramai manusia yang sedar bahawa kita dijadikan bukan sekadar utk dilahirkan dr perut ibu, kmdn dimatikan dan ditanam ke dlm bumi, lalu habis sekadar itu sahaja. Kerana kelalaian inilah manusia hidup demi kepentingan , keseronokan dan kemewahan dunia semata-mata. Allah S.W.T yg mencipta manusia telah menentukan matlamat yg tinggi kpd manusia iaitu untuk mengabdikan diri kpd Allah S.W.T, memikul amanah di bumi, menjadi khalifah dan matlamat utk kembali kpd Allah dgn bekalan yg memberi manfaat. Sesiapa yg dpt memenuhi matlamat tersebut dijanjikan syurga yg merupakan nikmat yg besar di sisi Allah S.W.T. Utk mencapai matlamat yg tinggi di sisi Allah S.W.T, kita mestilah mengikut jalan yg telah ditentukan oleh Allah bknnya jalan selain daripada itu. Jalan Allah itu berpandukan kpd KitabNya yg disampaikan melalui Rasul yg diutuskan kpd manusia. Jalan Allah itu meletakkan manusia sbg abdi kpd Allah, patuh dlm ibadah, beramal soleh, mentadbir bumi mengikut syariat & tidak mengikuti amalan org yg ingkar kpd Allah spt Kristian, Yahudi, Hindhu, Buddha & ideologi ciptaan akal manusia. Namun utk mencapai matlamat itu bukanlah mudah krn sudah menjadi sunnatullah &sunnah rasul bhw ujian & halangan tdk akan berhenti hinggalah akhir hidup kita. Kerana itulah matlamat menjadi perkara yang amat besar untuk kita kekal bertahan di atas jalan perjuangan. Jika kita samar dan kabur mengenai matlamat kita, pastinya kita akan cepat berputus asa. Seorang ulama’ ada berkata, “Berputus asa di tengah jalan itu adalah kerana berlakunya kesilapan di titik mula” Renungi firman ALLAH S.W.T yang bermaksud : “ Dan tidaklah KAMI ciptakan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadah(kepada KAMI)” Itulah tujuan kehidupan insan. Itulah tujuan manusia diciptakan. Tidakkah anda lihat, ALLAH menciptakan kita, maka matlamat kita adalah ALLAH semata-mata. Kita hakikatnya perlu memasukkan kefahaman ayat ini di dalam kehidupan kita. Kita perlu menggamnya dan menyematkannya kemas di dalam kehidupan kita. Tidakkah kita merasakan yang hidup kita ini betul-betul satu anugerah? Sudahlah diciptakan sebegitu istimewa, malah tujuan kehidupan kita juga adalah teramat cantik. Tujuan hidup kita adalah ibadah kepada ALLAH. ALLAH tidak menciptakan kita atas sebab yang lain. Hal ini bermakna, kita perlu bergantung kepada ALLAH dalam segenap perkara, perlu mendekatkan diri kita kepada ALLAH setiap masa. Cantiknya ALLAH S.W.T. yang telah menciptakan manusia dengan sebaik kejadian, kemudian meletakkan tujuan kehidupan insan dengan sebaik-sebaik tujuan. Jika kita menganggap matlamat hidup kita sebagai ibadah, bukankah kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari perkara yang sia-sia? Kita akan lebih kuat dalam menjaga diri kita dari maksiat, kita akan berusaha menjauhkan diri kita dari apa yang ALLAH murka, kita akan jauhkan diri kita dari perkara-perkara yang merosakkan diri kita. Jika kita menganggap meletakkan ibadah sebagai matlamat hidup kita, bukankah kita akan lebih terasa hendak melakukan banyak kebaikan? Bukankah tubuh kita akan sentiasa ringan untuk mencari segala peluang kebaikan? Bukankah nanti kita akan lebih mendekati ALLAH? Bukankah yang kita dapat hanya kebaikan? Cantiknya matlamat ini. Malah matlamat ini akan membuatkan kita sentiasa beramal dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja lapangan. dan ingatlah bahawa ALLAH pasti tidak akan mempersia-siakan usaha kita.

Read more...

Rabu, 11 Mac 2009

Makluman Muktamar DMPKS Kali Ke - 7

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih... Firman Allah S.W.T dalam Surah Muhammad ayat 31, mafhumnya : "Nescaya kami akan menguji kamu (memberi ibtila') sehingga maklum kepada kami mereka yang berjuang dan bersabar di kalangan kamu dan kami mengetahui keadaan sebenar kamu" Sesungguhnya perjuangan menegakkan syiar Islam adalah sesuatu yang sukar malah terpaksa berhadapan pula dengan segala mehnah dan ibtila' (halangan dan ujian). Sejak bermulanya dakwah Islam yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadap Rasulullah s.a.w, sejak itu jugalah halangan dan ujian menjadi sebahagian daripada kisah hidup Rasulullah s.a.w. Sedangkan Rasulullah s.a.w yang merupakan sebaik-baik manusia di sisi Allah turut merasai mehnah dan ibtila' dalam perjuangan, siapakah pula diri kita ini untuk mengharapkan jalan perjuangan yang dilalui ini penuh dengan kesenangan dan kegembiraan serta mudahnya mencapai kejayaan. Hanya kesabaran dan doa yang tak putus-putus kepada Allah jualah yang dapat membantu kita untuk terus bersama golongan yang ingin menegakkan syariat Allah di muka bumi ini. Muslimah yang dikurniakan kekurangan dari segi fizikal sebenarnya turut dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan kekuatan dan ketabahan hati untuk menghadapi ujian yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh seorang lelaki. Ketabahan hati itulah yang menemani seorang muslimah ketika mengandungkan anaknya dengan susah payah selama hampir 9 bulan 10 hari. Kelebihan itulah yang membuktikan bahawa setiap muslimah yang bermujahadah akan mampu istiqamah dalam mempertahankan syariat Allah S.W.T walaupun diuji dengan pelbagai perkara sama ada besar atau kecil. Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk mendidik generasi seterusnya agar berusaha mempertahankan syariat Islam walaupun di saat dunia sudah mula memandang kepentingan kebendaan dan matlamat keduniaan sebagai ukuran kejayaan seseorang manusia. Teruskanlah kesabaran kita wahai muslimah sekalian sehingga sampai waktunya kita dipanggil menemui Allah S.W.T untuk dihitung segala amalan kita semasa di dunia. Itulah sedikit intipati bagi tema Muktamar Dewan Muslimat PAS Kawasan Sandakan Kali yang Ke - 7. Semua ahli DMPKS diharap mengambil perhatian terhadap maklumat berikut :- Muktamar Dewan Muslimat PAS Kawasan Sandakan Kali Ke - 7 Tarikh : 11 April 2009 / 15 Rabiul Akhir 1430 H Tempat : Dewan Batu 4, Bandar Kim Fung Masa : 8.00 pagi - 1.00 petang Tema : MUJAHIDAH PEMANGKIN KELANGSUNGAN SYIAR ISLAM

Read more...

Hak-Hak Wanita

PENERANGAN TENTANG AKTA KEGANASAN RUMAH TANGGA 1994 S.1 Apakah tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994? J. Tujuan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta) ialah untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. Mangsa dalam Akta ini termasuklah isteri. S.2. Apakah yang dimaksudkan dengan "keganasan rumah tangga"? J. "Keganasan rumah tangga" berlaku apabila seseorang : menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa; secara bersengaja atau dengan sedar meletak atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal; memaksa atau mengancam mangsa untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual yang mana mangsa berhak untuk tidak melakukannya; mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaannya; atau melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa. S.3 Siapakah mangsa yang dilindungi oleh Akta ini? J. Mangsa yang dilindungi oleh Akta ini ialah: Isteri Atau Suaminya, Isteri Atau Suami de facto (iaitu seseorang yang telah melalui suatu bentuk istiadat yang diiktiraf sebagai istiadat perkahwinan mengikut agama atau pihak-pihak yang berkenaan walaupun perkahwinan itu tidak didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan upacara dan pendaftaran perkahwinan) atau bekas isteri atau bekas suami. Kanak-kanak (berumur di bawah 18 tahun yang ditinggal sebagai anggota keluarga). Orang Dewasa Yang Tak Berkeupayaan (yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga); Mana-Mana Anggota Lain Keluarga, seperti: (i) anak lelaki atau anak perempuan dewasa; (ii) ibu atau bapa; (iii) abang, kakak atau adik; atau (iv) mana-mana saudara lain yang "pada pandangan mahkamah" hendaklah dimasukkan bagi tujuan perlindungan di bawah Akta ini. S.4 Apakah yang patut dibuat oleh seseorang mangsa? J. Di bawah Akta, seseorang mangsa boleh mengambil tindakan yang berikut: Mendapatkan pertolongan atau panduan daripada seorang pegawai kebajikan; Mendapatkan perlindungan, pertolongan dan panduan daripada pihak polis; Berjumpa atau menghubungi peguam atau Pegawai Biro Bantuan Guaman; Membuat laporan polis; Memfailkan aduan di mahkamah; Mendapatkan perintah tertentu daripada mahkamah, termasuk perintah perlindungan, pampasan, pemulihan psikoterapi, kaunseling, perdamaian dan sebagainya. Perintah-perintah ini akan dijelaskan kemudian. S.5 Bagaimanakah seseorang pegawai kebajikan boleh memberi pertolongan kepada mangsa? J. Apabila mangsa menghubungi seseorang pagawai kebajikan, pegawai itu akan menerangkan kepada mangsa hak-haknya di bawah undang-undang. Apabila bersesuaian, pegawai kebajikan tersebut hendaklah memberi pertolongan kepada mangsa melakukan perkara-perkara berikut: untuk membuat laporan polis; untuk memfailkan aduan di mahkamah; mengatur rawatan perubatan kepada mangsa; mengatur tempat perlindungan dan pengangkutan untuk pergi ke tempat perlindungan kepada mangsa; untuk menemani mangsa ke tempat kediaman/tinggalnya bagi tujuan mengambil atau memindahkan barang-barang kepunyaannya. (Ini boleh dilakukan apablia Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta); bertindak sebagai penghubung di antara pihak-pihak (misalnya apabila satu Perintah Sampingan telah diberikan oleh mahkamah di bawah seksyen 6(i)(b) Akta). S.6 Bagaimanakah seseorang pegawai polis boleh memberi pertolongan? J. Di bawah seksyen 19 Akta, seseorang pegawai polis mempunyai kuasa untuk membantu mangsa sebagaimana kuasa yang diberikan kepada seseorang pegawai kebajikan seperti yang dinyatakan di atas. Sebagai tambahan, seseorang pegawai polis mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk : mengambil tindakan, sekiranya sesuai, untuk mencegah keganasan rumah tangga yang sedang dilakukan; menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa dan membuat cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap pesalah sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi untuk berbuat demikian; melaksanakan atau menguatkuasakan perintah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, misalnya, dengan menangkap pesalah yang telah melanggar perintah tersebut atau mengeluarkan pesalah dari tempat di mana dia telah dihalang oleh perintah untuk memasuki atau tinggal di situ. S7. Bagaimanakah mahkamah boleh memberi pertolongan? J. Mahkamah mempunyai pelbagai peranan di bawah Akta. Di antara lain, mahkamah akan - menerima dan merekodkan aduan yang difailkan oleh mangsa dan mendengar serta membuat keputusan tentang aduan tersebut dengan seberapa segera (seksyen 14 Akta); mengeluarkan perintah yang bersesuaian seperti perintah perlindungan, pampasan kewangan untuk mangsa, memerintah supaya pemulihan psikoterapi atau kaunseling diberi kepada mangsa/pesalah dan sebagainya. menyelenggara rekod berhubung dengan butir-butir terperinci tentang aduan yang difailkan seperti butir-butir pihak yang terlibat, kecederaan, perintah yang dikeluarkan dan sebagainya. Butir-butir ini adalah amat berguna bagi membantu pihak mahkamah meniali keberkesanan amalan pada masa lalu, kajian sosial tentang keganasan rumah tangga, menjadi panduan kepada pembuat dasar dan sebagainya. S8. Bagaimanakah pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman memberi pertolongan? J. Pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman adalah terlatih dalam bidang undang-undang. Selain daripada memberi nasihat untuk membantu mangsa membuat laporan polis atau memfailkan aduan di mahkamah, mereka juga boleh memberi nasihat tentang permohonan untuk mendapat perintah di mahkamah., tindakan mengemukakan saman persendirian bagi pertuduhan jenayah (dalam keadaan tertentu) dan sebagainya. Seseorang mangsa yang diberi nasihat sewajarnya oleh seseorang yang terlatih dalam undang-undang boleh menegakkan hak-haknya dengan lebih berkesan. S9. Bagaimanakah orang ramai boleh menolong mangsa keganasan rumah tangga? J. Kawan, saudara mara, jiran dan orang ramai boleh memainkan peranan dalam mencegah perbuatan yang melibatkan keganasan rumah tangga. Penglibatan langsung yang boleh diambil ialah dengan menyediakan "tempat selamat" kepada mangsa dan membuat laporan tentang kejadian keganasan rumah tangga kepada pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis. Akta melindungi "pemberi maklumat" walaupun maklumat yang diberikan itu didapati tidak betul atau kurang tepat kemudiannya (seksyen 18(2) Akta). Penglibatan secara tidak langsung ialah dengan melibatkan diri dalam usaha-usaha untuk mengwujudkan keharmonian di dalam rumah tangga dan memberi kefahaman tentang tanggungjawab suami-isteri yang sepatutnya. S10. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Perlindungan? J. Perintah Perlindungan ialah satu perintah dalam bentuk injunksi bagi mencapai salah satu atau semua tujuan yang berikut - untuk menghalang berlakunya perbuatan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; untuk menghalang pesalah daripada menghasut orang lain daripada melakukan perbuatan keganasan rumah tangga terhadap mangsa; untuk memberi perlindungan kepada mangsa dalam bentuk Perintah Sampingan (Ancilliary Order), kuasa menangkap dan sebagainya. (Seksyen 5). Aduan atau permohonan untuk mendapat satu Perintah Perlindungan tidak semestinya dibuat oleh mangsa sendiri. S11. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Sampingan (Ancilliary Orders)? J. Satu Perintah Perlindungan termasuklah Perintah Sampingan tertentu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta. Perintah-perintah itu termasuklah - memberi orang yang dilindungi hak eksklusif untuk mendiami tempat kediaman secara keseluruhan; memberi mangsa yang dilindungi hak eksklusif untuk mendiami tempat kediaman secara bahagian tertentu; menghendaki pesalah membenarkan orang yang dilindungi memasuki kediaman untuk mengambil barang-barang kepunyaannya. Walau bagaimanapun, orang yang dilindungi hendaklah ditemani oleh seorang pegawai kebajikan atau pegawai polis semasa berbuat demikian. melarang pesalah daripada memasuki tempat kediaman atau kediaman alternatif orang yang dilindungi atau tempat kerja atau sekolah. melarang pesalah membuat perhubungan bertulis atau telefon dengan orang yang dilindungi melainkan dengan kehadiran seorang pegawai penguatkuasa atau orang lain yang dinyatakan dalam perintah. menghendaki pesalah membenarkan orang yang dilindungi untuk terus menggunakan kenderaan pesalah yang sebelum itu biasanya digunakan oleh orang yang dilindungi. S12. Apakah maklumat lanjut yang perlu diketahui tentang Perintah Sampingan ini? J. Sesuatu Perintah Sampingan adalah - berkuatkuasa selama tempoh tidak melebihi 12 bulan daripada tarikh mula berkuatkuasanya perintah sedemikian sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah perlindungan. tidak menjejaskan hak-hak dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat berhubung dengan harta yang tertakluk kepada perintah seperti tempat kediaman dan kenderaan. dikeluarkan oleh mahkamah selepas mahkamah meneliti perkara-perkara yang berikut: i. kelakuan pihak-pihak; ii. kemungkinan kecederaan kepada orang yang dilindungi; iii. kesannya kepada anak; iv. kesihatan pihak-pihak; v. alternatif-alternatif yang boleh dipertimbangkan bagi melindungi mangsa. Pertimbangan yang dibuat oleh mahkamah ialah "atas imbangan kebarangkalian". S13. Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Perlindungan Sementara? J. Mengikut seksyen 4 dan 12 Akta. Perintah Perlindungan Sementara boleh dikeluarkan sementara menunggu penyiasatan berhubung dengan suatu perbuatan keganasan rumah tangga oleh pihak polis selesai. S14. Apakah hukuman jika pesalah melanggar perintah Mahkamah di atas? J. Pesalah yang melanggar perintah perlindungan atau mana-mana peruntukannya boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali. Pesalah yang melanggar perintah perlindungan dengan menggunakan kekerasan atau keganasan boleh didenda tidak lebih daripada RM4,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali. Dalam kes perlanggaran kali kedua atau kemudiannya, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 72 jam dan tidak lebih daripada dua tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM5,000. S15. Bolehkah mangsa keganasan rumah tangga menuntut pampasan? J. Mangsa keganasan rumah tangga boleh menuntut pampasan daripada pesalah melalui mahkamah, jika mangsa mengalami : kecederaan diri; kerosakan kepada harta; kerugian kewangan, dan Mahkamah akan membenarkan tuntutan itu sebagaimana yang difikirkannya adil dan munasabah. Tuntutan pampasan ini boleh dibuat sebagai satu tindakan sivil yang berasingan sungguhpun tindakan jenayah telah diambil terhadap pesalah. S16. Apakah faktor-faktor yang diambilkira oleh Mahkamah dalam memberi pampasan? J. Mahkamah yang mendengar tuntutan bagi pampasan boleh mengambilkira faktor-faktor berikut : kesakitan dan penderitaan mangsa itu; jenis dan takat kecederaan fizikal atau mental (berkaitan dengan kesesuaiannya); kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu; apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya; jumlah atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan; perbelanjaan perlu dan munsabah yang ditanggung oleh mangsa, apabila mangsa terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana keganasan rumah tangga seperti: i. perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat atau tempat berlindung; ii. perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan; iii. perbelanjaan yang dikehendaki dalam menubuhkan suatu rumah tangga berasingan iaitu: a. amaun pinjaman perumahan, atau b. bayaran sewa semua atau sebahagian kediaman bersama atau kediaman alternatif, mengikut pertimbangan keadilan dan munasabah Mahkamah. S17. Apakah faktor-faktor yang diambilkira dalam menimbangkan "perbelanjaan yang perlu dan munasabah"? J. Dalam menimbangkan perbelanjaan perlu dan munasabah, Mahkamah boleh juga mengambilkira: kedudukan kewangan mangsa dan defendan; perhubungan antara mangsa dan defendan dan persoalan-persoalan kemunasabahannya yang menghendaki defendan membuat pembayaran; kemungkinan prosiding lain diambil di antara pihak-pihak itu dan samada ia lebih sesuai dilaksanakan di bawah undang-undang yang lebih relevan bagi orang-orang berkenaan. S18. Apakah perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh mahkamah sebagai ganti atau sebagai tambahan kepada Perintah Perlindungan? J. Mahkamah dalam memberi perintah perlindungan, boleh sebagai ganti atau tambahan, mengeluarkan satu atau kedua-dua perintah berikut: memerintahkan supaya pihak-pihak berkenaan dirujukkan kepada badan pendamai; memerintahkan supaya satu atau lebih daripada satu pihak kepada pertikaian dirujuk kepada terapi pemulihan, psikoterapi atau kaunseling pendamaian lain yang sesuai. Dalam masa membuat perintah sebagai ganti atau tambahan kepada Perintah Perlindungan, Mahkamah boleh, jika praktik, meminta nasihat seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana orang yang terlatih atau berpengalaman. S19. Apakah badan pendamai yang terlibat? J. Badan pendamai ialah badan-badan yang mengadakan perkhidmatan kaunseling yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bagi orang-orang Islam ia juga meliputi badan pendamai yang ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. S20. Bilakah perintah perlindungan boleh diminta? J. Perintah perlindungan boleh diminta dalam sesuatu prosiding jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang bertulis lain apabila tertuduh dipertuduh dengan suatu kesalahan yang termasuk dalam takrif keganasan rumah tangga- sebagai suatu syarat untuk membebaskan tertuduh dengan jaminan atau pada mana-mana peringkat lain prosiding iaitu; atau semasa mengkompaunkan kesalahan itu bawah s. 260 Kanun Prosedur Jenayah. S21. Di manakah aduan boleh dibuat? J. Aduan boleh dibuat kepada mana-mana pegawai penguatkuasa (pegawai kebajikan dan pihak polis), di mana - pengadu itu tinggal; pesalah itu tinggal; keganasan yang dikatakan itu berlaku; atau mangsa itu ditempatkan buat sementara. Bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berupaya untuk membuat aduan, ia boleh dibuat oleh penjaga atau saudara atau orang yang bertanggungjawab menjaga atau oleh seorang pegawai penguatkuasa. Pegawai penguatkuasa itu akan memfailkan aduan itu di Mahkamah dan Mahkamah dikehendaki mendengar kes itu seberapa segera yang boleh. S22. Apakah dokumen-dokumen yang perlu dibawa apabila berjumpa dengan pegawai-pegawai Biro Bantuan Guaman? J. Dokumen-dokumen yang perlu dibawa ialah : Kad pengenalan; Surat nikah; Sijil kelahiran anak-anak jika berkaitan; Laporan polis; Laporan perubatan dan Laporan kaunseling, jika berkaitan.

Read more...

Rabu, 4 Mac 2009

~ MANGKUK , MADU DAN RAMBUT ~

Pada suatu hari, RasululLah s.a.w dengan sahabat-sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a dan Saidina Uthman r.a berkunjung ke rumah Saidina Ali r.a. Di rumah Saidina Ali, isterinya Saidatina Fatimah (puteri Rasulullah s.a.w) menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan dalam sebuah mangkuk yang cantik. Ketika mangkuk berisi madu itu dihidangkan, sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda s.a.w kemudiannya meminta semua sahabatnya untuk membuat satu perbandingan antara ketiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut. Lalu Saidina Abu Bakar berkata "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut". Saidina Umar pula berkata " Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Kata Saidina Uthman pula "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut. Saidina Ali pula berkata "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu dan membuat tamu senang sampai kembali ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Saidatina Fatimah turut tidak melepaskan peluang membuat perbandingan dengan katanya "Seorang wanita itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Akhirnya RasululLah s.a.w bersabda "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Malaikat Jibril a.s turut berkata "Menegakkan syiar-syiar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri/harta/tenaga dan waktu untuk syiar Islam lebih manis dari madu dan mempertahankan syiar Islam hingga akhir hayat itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Seterusnya firman Allah S.W.T yang bermaksud "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, nikmat syurgaKu lebih manis dari madu dan jalan menuju syurgaKu adalah lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Marilah kita bersama-sama menghayati kisah ini. Moga hikmah disebaliknya dapat membuka mata hati kita daripada tipu daya dunia dan kesenangannya. Jalan AlLah dan sunnah RasullulLah itu tidak dikelilingi senang dan seronok tetapi penuh dengan mehnah dan ibtila'(cabaran dan ujian). "Ya Allah, saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah berusaha untuk agamaMu dan kami berserah diri kepadaMu untuk menentukan natijahnya. Tiada daya dan upaya bagi kami melainkan dengan rahmatMu jua maka bantulah dan kuatkan kami dalam meniti jalanMu". Amin...amin...amin ya Robbal 'Alamin.

Read more...

Ahad, 1 Mac 2009

Di sini kita bermula...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. selawat dan salam keatas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat dan keluarga baginda yang telah memperjuangkan Islam sehingga nafas yang terakhir. Dewan Muslimat Pas Kawasan Sandakan (DMPKS) akhirnya memulakan langkah sulung dalam ruang maya sebagai wadah dakwah dan penerangan kepada seluruh masyarakat khususnya penduduk Sandakan. Permulaan ini diharapkan dapat memperluas lagi skop dakwah disamping untuk memudahkan gerak kerja yang bakal di atur. Kepada semua pimpinan dan ahli DMPKS, admin mengalu-alukan sebarang maklumat yang ingin disalurkan melalui ruangan blog ini. sebarang artikel yang ingin dimasukkan juga amat di galakkan. anda boleh menghantarkan artikel anda ke emel dmpsandakan@yahoo.com. kita mengharapkan permulaan ini akan mencetus satu anjakan paradigma dalam gerak kerja DMPKS. kesedaran tentang peri pentingnya muslimat berperanan dalam arena dawah dan siasah perlu dipupuk dan disuburkan dalam jiwa-jiwa setiap ahli gerakan DMPKS. Dengan kesedaran dan kemahuan yang tinggi, kita sebenarnya mampu untuk mencetus satu momentum tenaga penggerak yang mampu menggegarkan dan menyentak jiwa-jiwa alpa yang menjadi virus-virus perosak dalam masyarakat sekeliling kita. kuncinya hanya kemahuan dan kesatuan dalam kalangan kita. Lantas, dengan langkah permulaan di alam maya ini, kita perlu bijak untuk mengatur langkah-langkah seterusnya,agar tidak sekadar memulakan, kita akan mencetus perubahan. Jangan pernah kita katakan tidak sebelum kita kerah seluruh kudrat kurniaanNya untuk kita letakkan Islam di tempatnya yang teratas. Segala masalah yang kita hadapi, pasti ada jalan penyeleaian terbaik yang kitaperlu kaji dan selidiki. kita bukan lagi golongan yang tertunduk- tunduk, sekadar mengangguk dan mengiyakan setiap sesuatu yang kita perolehi, tetapi marilah kita menjadi penganalisis dan pemikir terbaik yang akan menghasilkan idea, saranan dan pandangan yang mampu mencorak suasana sekeliling. Jika bukan kita maka siapa??? Untuk permulaan ini kita amat mengalu-alukan Sebarang cadangan dan pandangan daripada semua. Salam Perjuangan. DMPKS ke arah perubahan...

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP