Selasa, 5 Mei 2009

Memahami Perjuangan Islam...

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan batapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dan akan dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.
Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau berkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.
Demikianlah sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w lagi umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan cabaran dan tentangan. Segala cabaran dan tentangan itu merupakan sebahagian daripada ujian Allah untuk menilai siapakah sebenarnya golongan yang benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.
Keyakinan terhadap janji Allah itulah yang akan menjadi pendorong untuk seseorang muslim sanggup berjihad dari segi nyawa, harta, tenaga mahupun masa yang dikurniakan oleh Allah. Berjaya atau tidak, dihargai atau tidak, diterima atau tidak segala jihad yang dilakukan itu semasa di dunia bukanlah hak kita untuk menentukannya. Kerana itulah kita dituntut untuk sentiasa bertawakkal kepada Allah setelah berusaha melakukan amalan yang boleh membawa kita kepada rahmat dan redha Allah.
AQIDAH ASAS PERJUANGAN
Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu fizikal dan material sebagai landasan utama dalam perjuangan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.
Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yangmenjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan dalam kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah S.W.T. Islam juga menuntut manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam itu sendiri.
Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah para Nabi bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Firman ALlah dalam surah an-Nahl ayat 36 yang bermaksud :-
"Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan), Sembahlah Allah dan jauhilah taghut".
Jelaslah bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatiNya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.
Wallahu a'lam.
**Insya 'Allah akan bersambung kemudian...harap bersabar...

0 ulasan:

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP