Khamis, 15 Oktober 2009

Kiamat Itu Hampir...Apa yang akan kita bawa sebagai bekalan?

Assalamu'alaikum... Salam mahabbah. Kita semua perlu istiqomah & konsisten dalam hidup beribadah. Mehnah itu semua adalah 'buah-buah manis' sepanjang hidup berdakwah. Mata kasar manusia hanya suka mengkritik, namun 'mata hati' itulah yang akan tetap dapat melihat kebenaran kalau ia menginginkan kebenaran. Mari teruskan perjuangan demi agama. Bergeraklah dengan langkah & jiwa yang besar untuk matlamat agama ALLAH yang besar ini....

************************************
ALLAH S.W.T turut menamakan hari kiamat sebagai Yaumul Aazifah iaitu hari yang dekat. Ini seperti yang ditegaskan oleh ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Najm (53:57) yang bermaksud :
"Telah dekat terjadinya hari kiamat"
Meskipun akhirat masih jauh kerana beberapa alamat kiamat yang besar seperti turunnya Nabi Isa a.s, turunnya Dajjal dan terbitnya matahari dari arah barat masih belum berlaku. Namun ALLAH S.W.T telah mengingatkan dalam wahyuNya bahawa kiamat itu sudah hampir. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri telah memberitahu para sahabat Baginda bahawa antara zaman Baginda dan hari kiamat itu ibarat dua batang jari yang direnggangkan.
Bagi orang mukmin yang sentiasa mengingati akhirat serta meyakini segala huru-hara dan malapetaka yang bakal berlaku di hari kiamat, hatinya tidak lalai terhadap akhirat seolah-olah kiamat itu berlaku esok hari. Mereka sentiasa cemas dan tidak mempunyai waktu yang banyak untuk leka dengan kesenangan dunia fana ini. Diri mereka disibukkan dengan membuat persiapan untuk bekalan di akhirat sebanyak mungkin.
Sekiranya anak cucu Nabi Adam ingin menikmati semula kebahagiaan syurga yang pernah dinikmati oleh Nabi Adam, maka mereka mesti memenuhi syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. Antaranya ialah beriman kepada ALLAH, Rasul, Kitab, Malaikat, Hari Kiamat serta Qada' dan QadarNya. Pegangan itu pula hendaklah diikuti dengan beramal soleh iaitu mengerjakan apa sahaja yang diwajibkan, meninggalkan segala larangan seterusnya berusaha membina ketaqwaan melalui sunnah Rasul dan menegakkan agama ALLAH melalui JIHAD.
Pada hakikatnya, segala kurnia ALLAH kepada manusia hanyalah amanahNya sama ada jasad, roh, ilmu pengetahuan, kekuasaan, kekayaan, kecantikan, kesihatan, isteri dan anak-anak yang dipinjamkan sementara di dunia ini yang akan ditanya kembali oleh ALLAH di akhirat kelak. Justeru itu, sama-samalah kita berusaha untuk memanfaatkannya sebaik mungkin demi kebahagiaan di akhirat kelak. Janganlah demi kesenangan dan kenikmatan dunia yang sementara ini membuat kita lupa pada kehidupan yang kekal di akhirat.
WalLahu 'alam.

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP