Jumaat, 21 Ogos 2009

Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa :- 1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhiratPejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti. “….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.( Surah An-Naba’: Ayat 31 ) Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh – musuh Allah swt. Renungkanlah firman Allah ini :“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”. ( Surah Al-A’raf : Ayat 96 ) Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan. Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.[9] Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.( Surah Aali Imran : Ayat 133 ) “Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh keni`matan”. ( Surah al-Maidah: Ayat 65 ) 2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh AllahAntara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya. Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya: “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.(Surah al-Anfal: Ayat 29 ) “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”. (Al-Ahzab: Ayat 71 ) Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).[10] Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan. Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar. Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.[11]

Read more...

Assalamu'alaikum warahmatulLahi wabarakatuh... Bulan Ramadhan datang lagi, bulan keampunan dan bulan ibadah. Hati orang-orang mukmin sangat gembira dengan kehadiran bulan ini. Oleh itu ya ALlah! " Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya'ban serta panjangkanlah umur kami sehingga bulan Ramadhan". Merujuk kepada Ayat 183 surah al Baqarah :يا يها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt. ( Surah al Baqarah : Ayat 183 ) Ayat di atas jelas menegaskan bahawa perkara asas yang ingin dicapai melalui ibadah puasa yang difadhukan ini ialah Taqwa. Tanpa taqwa ertinya ibadah puasa yang dilakukan oleh kita tidak mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah swt. Maksud yang seerti dengannya ialah puasa kita gagal apabila kita gagal mendapatkan taqwa melalui aktiviti puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini . Sebab semua orang memahami bahawa kejayaan dalam sesuatu kerja atau urusan ialah melihat kepada hasil atau objektif perlaksanaannya sejauh mana ia dicapai . Inilah yang biasa disebut sebagai management by objective . Prof. Doktor Wahbah az Zuhaili . ( di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua /muka surat 130 . Cetakan Darul Fikri Damsyik ) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor : 1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .) 2. Mengekang keterlanjuran syahwat dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .) 3. Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik ) 4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.) 5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya. 6. Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad . Definisi Taqwa :Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.[1] Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )[2] Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.[3] Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”. [4] Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[5] Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[6] - bersambung

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP