Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Julai 2010

Santapan Rohani

Firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Kahfi, ayat 28 bermaksud :- "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan ALLAH semata-mata. Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran".. Muslimat yang dikasihi ALLAH..tidak kira orang PAS atau UMNO atau PKR. Selagi kita merasakan diri kita seorang wanita Islam, walau dimana atau kumpulan mana pun kita berada sama-samalah kita renungkan kalam ALLAH yang tercatat di atas...Moga-moga ALLAH membuka pintu hati kita untuk mudah menerima kebenaran yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis.. Sedih rasanya bila melihat segolongan umat Islam suda mula hilang rasa malu daripada menabur fitnah dan tohmahan terhadap golongan yang berusaha menegakkan syariat ALLAH di bumi Malaysia yang dikasihi ini.. Bertambah sedih bila pemimpin yang diberi amanah mentadbir negara menggunakan alasan dirinya sebagai seorang Islam untuk ditaati oleh rakyat secara mutlak..Sedangkan ketaatan kepada ALLAH dan Rasul sahaja yang mutlak kerana disandarkan kepada dalil al-Quran dan Hadis. Manakala ketaatan kepada pemimpin hanyalah selagimana pemimpin itu berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan Hadis. Apabila pemimpin itu hanyalah beragama Islam tetapi cara hidup tidak mengikut tuntutan syariat Islam bahkan mengagungkan idealogi2 ciptaan manusia yang ada kalanya bertentangan dengan aqidah, ibadah dan akhlak Islam, maka bagaimanakah kita hendak terus mentaati pemimpin sebegini... Sebelum ALLAH menghukum kita kerana memilih pemimpin yang ingkar terhadap ALLAH, marilah kita bersama berusaha membuat perubahan kepimpinan dengan merujuk kepada kriteria pemimpin yang ditetapkan oleh Islam. Buka mata dan pasang telinga untuk mencari kebenaran, kemudian renungkanlah dengan mata hati yang berpandukan iman bukannya hawa nafsu, PASti kita akan melihat siapakah pemimpin yang sebenarnya menyayangi agama dan siapakah pula pemimpin yang menuruti hawa nafsunya. Jangan korbankan kehidupan kita di akhirat yang kekal hanya kerana digula-gulakan dengan kesenangan dan keseronokan sementara di dunia ini... Semoga ALLAH mengampuni dosa-dosa kita dan sentiasa membimbing kita ke jalan yang diredhaiNYA. Amin Ya Rabbal 'Alamin.. Siapalah diri kita ini tanpa mengikuti panduan ALLAH dan RasulNYA...

Read more...

Ahad, 15 November 2009

Ingatan Rasulullah S.A.W yang perlu diberi perhatian...

Jika Godaan Dunia Menguasai Kita ... Salah satu hal yang mesti diperhatikan oleh kaum muslim adalah godaan dunia. Rasulullah SAW sudah memperingatkan hal ini dalam haditsnya, “Kelak akan menimpa umatku penyakit umat-umat terdahulu yaitu penyakit sombong, kufur nikmat dan lupa daratan dalam memperoleh kenikmatan. Mereka berlumba mengumpulkan harta dan bermegah-megahan dengan harta. Mereka terjerumus dalam jurang kesenangan dunia, saling bermusuhan dan saling iri, dengki, dan dendam sehingga mereka melakukan kezaliman (melampaui batas).”(HR. Al Hakim) Dalam hadits lain, beliau menyatakan,“Demi Allah, bukanlah kemelaratan yang aku takuti bila menimpa kalian, tetapi yang kutakuti adalah bila dilapangkannya dunia bagimu sebagaimana pernah dilapangkan (dimudahkan) bagi orang-orang yang sebelum kalian, lalu kalian saling berlumba sebagaimana mereka berlumba, lalu kalian dibinasakan olehnya sebagaimana mereka dibinasakan.” (HR. Ahmad) Beberapa hadits lain yang berkaitan dengan godaan dunia adalah :“Aku dan dunia ibarat orang dalam perjalanan menunggang kenderaan, lalu berteduh di bawah pohon untuk beristirehat dan setelah itu meninggalkannya.” (HR. Ibnu Majah) “Dunia ini cantik dan hijau. Sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah dan Allah mengamati apa yang kamu lakukan, kerana itu jauhilah godaan wanita dan dunia.. Sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa bani Israil adalah godaan kaum wanita.” (HR. Ahmad) *Wahai wanita, peliharalah dirimu sebaiknya mengikut syariat Islam, agar tidak termasuk golongan tersebut di atas. Pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: “Kamu kini jelas atas petunjuk dari Robbmu, menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan berjihad di jalan Allah. Kemudian muncul di kalangan kamu dua hal yang memabukkan, yaitu kemewahan hidup (lupa diri) dan kebodohan. Kamu beralih ke situ dan berjangkit di kalangan kamu cinta kepada dunia. Kalau terjadi yang demikian kamu tidak akan lagi beramar ma’ruf, nahi mungkar dan berjihad di jalan Allah. Di kala itu yang menegakkan Al Qur’an dan sunnah, baik dengan sembunyi maupun terang-terangan tergolong orang-orang terdahulu dan yang pertama-tama masuk Islam. (HR. Al Hakim dan Tirmidzi) Lebih kurang 14 abad yang lalu, Rasulullah SAW sudah memperingatkan kita akan bahayanya dunia. Namun berapa ramaikah umat Islam yang mengambil ‘manfaat’ dari peringatan Baginda tersebut. Lebih menyedihkan lagi bilamana umat Islam terlalu sibuk berlumba-lumba untuk mendapatkan ganjaran dan kenikmatan dunia sehingga syariat Islam mula diketepikan sedikit demi sedikit bahkan dianggap ketinggalan zaman ataupun penghalang kemajuan dan perpaduan. Lalu bagaimanakah hendak mengatasi godaan dunia seperti itu? Marilah kita sama-sama berusaha untuk lebih dekat dengan ALLAH SWT. Mintalah pertolongan dan perlindungan kepada-Nya, kerana ALLAH SWT sahajalah yang boleh menolong kita semua dari hal-hal yang ‘menyulitkan’ tersebut. Namun janganlah kita tersalah, kerana semakin kita berusaha untuk dekat dengan ALLAH SWT, maka syaitan tentu saja akan kian berusaha menggoda kita. Rasa malas, godaan untuk menunda-nunda ibadah, rasa gembira bila keinginan nafsu dipenuhi merupakan salah satu cara syaitan untuk menggoda kita daripada menjadi lebih dekat dengan ALLAH SWT. Jika sudah seperti itu yang terjadi, TANAMKAN NIAT YANG KUAT, CARI TEMAN/RAKAN YANG MEMAHAMI ATAU MENDUKUNG NIAT ANDA! Insya ALLAH kita akan dimudahkan untuk mendekat pada-Nya. Jika kita sudah dekat kepada ALLAH, insya ALLAH godaan dunia semenarik apapun tidak akan menggoyahkan prinsip yang telah kita tanamkan dalam jiwa kita. *artikel ini terutamanya ditujukan kepada diriku, semoga aku lebih kuat menahan godaan dunia…*

Read more...

Khamis, 15 Oktober 2009

Kiamat Itu Hampir...Apa yang akan kita bawa sebagai bekalan?

Assalamu'alaikum... Salam mahabbah. Kita semua perlu istiqomah & konsisten dalam hidup beribadah. Mehnah itu semua adalah 'buah-buah manis' sepanjang hidup berdakwah. Mata kasar manusia hanya suka mengkritik, namun 'mata hati' itulah yang akan tetap dapat melihat kebenaran kalau ia menginginkan kebenaran. Mari teruskan perjuangan demi agama. Bergeraklah dengan langkah & jiwa yang besar untuk matlamat agama ALLAH yang besar ini....

************************************
ALLAH S.W.T turut menamakan hari kiamat sebagai Yaumul Aazifah iaitu hari yang dekat. Ini seperti yang ditegaskan oleh ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Najm (53:57) yang bermaksud :
"Telah dekat terjadinya hari kiamat"
Meskipun akhirat masih jauh kerana beberapa alamat kiamat yang besar seperti turunnya Nabi Isa a.s, turunnya Dajjal dan terbitnya matahari dari arah barat masih belum berlaku. Namun ALLAH S.W.T telah mengingatkan dalam wahyuNya bahawa kiamat itu sudah hampir. Bahkan Rasulullah s.a.w sendiri telah memberitahu para sahabat Baginda bahawa antara zaman Baginda dan hari kiamat itu ibarat dua batang jari yang direnggangkan.
Bagi orang mukmin yang sentiasa mengingati akhirat serta meyakini segala huru-hara dan malapetaka yang bakal berlaku di hari kiamat, hatinya tidak lalai terhadap akhirat seolah-olah kiamat itu berlaku esok hari. Mereka sentiasa cemas dan tidak mempunyai waktu yang banyak untuk leka dengan kesenangan dunia fana ini. Diri mereka disibukkan dengan membuat persiapan untuk bekalan di akhirat sebanyak mungkin.
Sekiranya anak cucu Nabi Adam ingin menikmati semula kebahagiaan syurga yang pernah dinikmati oleh Nabi Adam, maka mereka mesti memenuhi syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. Antaranya ialah beriman kepada ALLAH, Rasul, Kitab, Malaikat, Hari Kiamat serta Qada' dan QadarNya. Pegangan itu pula hendaklah diikuti dengan beramal soleh iaitu mengerjakan apa sahaja yang diwajibkan, meninggalkan segala larangan seterusnya berusaha membina ketaqwaan melalui sunnah Rasul dan menegakkan agama ALLAH melalui JIHAD.
Pada hakikatnya, segala kurnia ALLAH kepada manusia hanyalah amanahNya sama ada jasad, roh, ilmu pengetahuan, kekuasaan, kekayaan, kecantikan, kesihatan, isteri dan anak-anak yang dipinjamkan sementara di dunia ini yang akan ditanya kembali oleh ALLAH di akhirat kelak. Justeru itu, sama-samalah kita berusaha untuk memanfaatkannya sebaik mungkin demi kebahagiaan di akhirat kelak. Janganlah demi kesenangan dan kenikmatan dunia yang sementara ini membuat kita lupa pada kehidupan yang kekal di akhirat.
WalLahu 'alam.

Read more...

Selasa, 7 Julai 2009

ADAB MENJAGA KEUTUHAN JAMAAH & UKHUWWAH ISLAM.....

Assalamu'alaikum buat saudara-saudara seagamaku.... Semoga Allah menyatukan hati-hati kita atas dasar kepentingan agama dan memeliharanya sehingga kita dapat dipertemukan semula di alam akhirat sebagai golongan umat Nabi Muhammad s.a.w yang selamat... Amiin...amiin...amiin ya Robbal 'Alamiin Alhamdulillah...dgn izin Allah hati merasa terpanggil utk membaca bahan usrah muslimin sandakan bertarikh 17 April 2009 yg disimpan oleh suami. Besarnya hikmah jika mencari pasangan yg turut berada dlm harakah Islam wahai muslimat semua. Dan juga, moga Allah memberkati insan yg menyediakan bahan usrah tersebut. Saya ingin menyeru diri sendiri dan saudara-saudara seagamaku terutamanya AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Sandakan agar berusaha untuk turut mengamalkan sifat-sifat sptmana yg dinyatakan dlm teks usrah tersebut.

#######################################
ADAB MENJAGA KEUTUHAN JAMAAH DAN UKHUWWAH ISLAM :
1. TABAYYUN bererti mencari kejelasan dan kesohihan maklumat yang diterima. "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." [al-Hujurat : 6]
2. 'Adamus Sukhriyyah ertinya tidak memperolok-olokkan."Wahai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan)." [al-Hujurat : 11]
3. 'Adamul Lamz iaitu tidak mencela orang lain terutamanya yang melibatkan status atau standard kebendaan.
4. Tarku at-Tanabuz yakni meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik sesama mukmin. Janganlah kebencian dan permusuhan kamu dengan seseorang menyebabkan kamu tidak berlaku adil dalam perbuatan mahupun perkataan.
5. Ijtinab Kathirun min az-zon iaitu menjauhi kebanyakan prasangka. "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka kerana sebahagian besar prasangka itu adalah dosa." [al-Hujurat : 8]
6. 'Adamu at-Tajassus iaitu tidak mencari-cari kesalahan dan aurat orang lain. Allah S.W.T amat suka bila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri.
7. Ijtinab al-Ghibah yakni menjauhi perbuatan mengumpat. Rasulullah s.a.w mengingatkan para sahabat bahawa ghibah itu ialah membicarakan hal orang lain yang ia tidak suka hal itu disebut walaupun betul. Jika hal yang diceritakan itu tidak benar maka ia menjadi fitnah pula.
##############################################
Sifat yang sepatutnya kita lakukan jika bertelagah dengan orang lain :
A. Memaafkan kesalahan saudara kita itu & jangan membalas dengan perbuatan yang tidak baik.
B. Berdoa kepada Allah agar dosa kita dan dosanya diampunkan.
C. Doa & harapkan diri kita & saudara kita itu dalam kebaikan dgn membaca doa rabithah {bayangkan mukanya waktu berdoa}.
Usaha ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan mudah, tetapi jika kita yakin dengan janji Allah pasti kita dapat mengamalkannya sedikit demi sedikit secara istiqamah.
Wallahu 'alam.

Read more...

Selasa, 5 Mei 2009

Memahami Perjuangan Islam...

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan batapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dan akan dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.
Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau berkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.
Demikianlah sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w lagi umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan cabaran dan tentangan. Segala cabaran dan tentangan itu merupakan sebahagian daripada ujian Allah untuk menilai siapakah sebenarnya golongan yang benar-benar yakin dengan janji-janji Allah.
Keyakinan terhadap janji Allah itulah yang akan menjadi pendorong untuk seseorang muslim sanggup berjihad dari segi nyawa, harta, tenaga mahupun masa yang dikurniakan oleh Allah. Berjaya atau tidak, dihargai atau tidak, diterima atau tidak segala jihad yang dilakukan itu semasa di dunia bukanlah hak kita untuk menentukannya. Kerana itulah kita dituntut untuk sentiasa bertawakkal kepada Allah setelah berusaha melakukan amalan yang boleh membawa kita kepada rahmat dan redha Allah.
AQIDAH ASAS PERJUANGAN
Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu fizikal dan material sebagai landasan utama dalam perjuangan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.
Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yangmenjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan dalam kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah S.W.T. Islam juga menuntut manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam itu sendiri.
Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah para Nabi bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Firman ALlah dalam surah an-Nahl ayat 36 yang bermaksud :-
"Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan), Sembahlah Allah dan jauhilah taghut".
Jelaslah bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatiNya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.
Wallahu a'lam.
**Insya 'Allah akan bersambung kemudian...harap bersabar...

Read more...

Rabu, 4 Mac 2009

~ MANGKUK , MADU DAN RAMBUT ~

Pada suatu hari, RasululLah s.a.w dengan sahabat-sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a dan Saidina Uthman r.a berkunjung ke rumah Saidina Ali r.a. Di rumah Saidina Ali, isterinya Saidatina Fatimah (puteri Rasulullah s.a.w) menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan dalam sebuah mangkuk yang cantik. Ketika mangkuk berisi madu itu dihidangkan, sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda s.a.w kemudiannya meminta semua sahabatnya untuk membuat satu perbandingan antara ketiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut. Lalu Saidina Abu Bakar berkata "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut". Saidina Umar pula berkata " Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Kata Saidina Uthman pula "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut. Saidina Ali pula berkata "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu dan membuat tamu senang sampai kembali ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Saidatina Fatimah turut tidak melepaskan peluang membuat perbandingan dengan katanya "Seorang wanita itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Akhirnya RasululLah s.a.w bersabda "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut". Malaikat Jibril a.s turut berkata "Menegakkan syiar-syiar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri/harta/tenaga dan waktu untuk syiar Islam lebih manis dari madu dan mempertahankan syiar Islam hingga akhir hayat itu lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Seterusnya firman Allah S.W.T yang bermaksud "SyurgaKu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, nikmat syurgaKu lebih manis dari madu dan jalan menuju syurgaKu adalah lebih sukar dari meniti sehelai rambut". Marilah kita bersama-sama menghayati kisah ini. Moga hikmah disebaliknya dapat membuka mata hati kita daripada tipu daya dunia dan kesenangannya. Jalan AlLah dan sunnah RasullulLah itu tidak dikelilingi senang dan seronok tetapi penuh dengan mehnah dan ibtila'(cabaran dan ujian). "Ya Allah, saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah berusaha untuk agamaMu dan kami berserah diri kepadaMu untuk menentukan natijahnya. Tiada daya dan upaya bagi kami melainkan dengan rahmatMu jua maka bantulah dan kuatkan kami dalam meniti jalanMu". Amin...amin...amin ya Robbal 'Alamin.

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP